SHORT STORY: Salah – Nur Izzati Mohd Aseri

Buta. Aku teraba-raba dalam kegelapan, mengharapkan pertolongan. Ada banyak suara

di luar sana. Namun, tiada satu tangan pun yang cuba untuk menarik aku keluar dari neraka

dunia. Suara-suara itu hanya tahu ketawa dan memaki dia sesedap rasa. Mereka menghina dia

yang tersilap masuk lorong hidup.

Aira menenyeh puntung rokok di atas rumput. Asap terakhir dihembus perlahan ke

udara. Pandangannya ditebarkan ke dada angkasa biru. Awan yang berarak perlahan disertai

dengan hembusan bayu sepoi-sepoi bahasa, menambahkan rasa nyaman yang sedia ada.

Rambutnya yang merah dikusutkan, menandakan kekacauan dalam hatinya. Aku cuba bangun

namun untuk kesekian kalinya, aku tersungkur di muka dunia. Di mana mama dan ayah di saat

aku perlukan mereka? Adakah benar aku hidup hanya menyusahkan hidup mereka?

Aira hidup dengan menggendong berbakul-bakul kata nista. Dia sudah biasa. Islam?

Melihat rambut dan tatu di lengan kirinya sudah cukup membuatkan mereka ragu-ragu dengan

status agama dia. Aah! Sekurang-kurangnya aku tidak menutup kecelaanku dengan topeng

keindahan. Aku tidak mahu menjadi orang bodoh yang menipu diri sendiri. Seorang pegawai

polis wanita menghampirinya.

“Sudahlah tu. Kau duduk di luar ni pun bukannya menyenangkan mana-mana mata yang

memandang. Baik kau masuk dalam dan siapkan makan malam.” Sinis. Namun, langsung tidak

terkesan dalam hatinya. Alah, benda sudah biasa, perlukah dia terasa?

Rumahku syurgaku. Ya, dia kini bergelar banduan dan sel ini ialah rumahnya. Kenapa?

Kerana Aira binti Hashim telah membunuh seorang budak. Itulah tuduhan serkap jarang yang

dilemparkan padanya. Dan tanpa bukti yang kukuh, dia disumbat ke dalam lokap. Dia tidak

diberi peluang untuk membela diri. Dunia ini memang tidak adil, bukan?

Begitu juga dengan ketagihannya. Aira tidak teringin langsung untuk menghisap dadah

bodoh itu. Tetapi, disebabkan hati-hati busuk yang sarat dengan rasa dengki, dia menjadi hamba

abdi dadah. Dia sendiri tidak faham, kenapa mereka cemburukannya? Dia yang seperti hidup

segan mati tak mahu ini juga yang mereka dengkikan. Disebabkan manusia yang hidup

bertuhankan duit dan berkiblatkan nafsu itulah, Aira selamat dibuang keluarga.

Rambut merahnya semakin nipis. Aira masih melangkah tenang. Virus HIV semakin

bermaharajalela memakan diri. Namun, dia tidak pernah menyesal dilahirkan di dunia ini.

Malah, dia berasa bangga kerana dapat menjadi sampah masyarakat. Semoga keadaan dia akan

membuka mata masyarakat betapa buruknya kesan dadah. Selama aku hidup, aku belajar satu

perkara. Dadah tidak salah, tetapi orang yang menyalahgunakan dadah itulah yang berdosa.

Aira selamat menghembuskan nafas terakhir di tali gantung.