CERPEN: Catatan Seorang Aku – Muhammad Izzan Zolkafli

Setiap orang melakukan kesalahan, tetapi yang menjadikan aku seorang aku ialah bagaimana aku

menghadapi kesalahan aku.

Aku. Tidak perlulah aku kenalkan siapa aku. Cukup sahaja dikenali sebagai seorang insan yang

melata di bumi Tuhan. Luas. Jauh.

Lalu apa yang menjadikan aku begitu ingin sekali bercakap tentang kesalahan? Apa yang

membuatkan aku begitu tegar membicarakan sesuatu subjek yang begitu menjegkelkan? Diam,

biar aku bercerita.

************************************************

25 Jun 2010

Catatan doktor bagaikan halilintar yang memagut setiap sendi yang menggerakkan tubuh

kurusku ini. Humane immunodefeciency virus atau lebih dikenali sebagai HIV telah bersarang

dalam sel tubuhku. Menggigil jemari tirusku memegang dokumen pengesahan sambil

mendengar penjelasan doktor tentang virus yang mendiami tubuhku. Terkebil-kebil mataku

cuba memproses segala maklumat yang aku terima. Gelora hati ini cuma aku yang tahu. Hati ibu?

Perasaan ayah? Bagaimana aku mahu berdepan dengan mereka?

Pulang dari hospital, aku bergegas menelefon sahabatku, Ray sebelum memberitahu keadaanku.

Padaku, hanya Ray yang memahami. Hanya Ray yang mengerti. Lima tahun kami belajar di luar

negara, Ray tempat aku bergantung rasa.

‘’Ray, Ray, Ray’’

Suara aku halus memenuhi ruang sambil jemari mendail nombor sahabatku itu. Gagang

diangkat. Tanpa berlengah, aku bercerita. Setiap inci, setiap detik penerangan doktor yang

menyesakkan akal aku ceritakan pada dia. Sesekali aku teresak-esak menahan rasa. Usai aku

meluah rasa, Ray diam. Lama. Dia meletakkan gagang tanpa membalas sepatah pun.

Tiba-tiba, telefon bimbit aku berdering.

‘’You got that from me. I am sorry Zar. It has been three months now. Haven’t got the time to tell

you this. I am truly sorry.’’

Lututku menggigil. Takungan mataku pecah. Deras. Jarum suntikan yang aku terima minggu

lepas dicemari Ray. Ya, seorang sahabat yang aku percaya dengan nyawaku mengkhianati aku

sebegitu rupa.

Aku cuba menghubungi Ray sekali lagi. Gagal. Nyata hanya operator yang setia menjawab setiap

panggilan aku.

Tengahari itu aku pulang seperti biasa. Aku telah memberitahu Suzy, kerani pejabatku yang aku

tidak hadir hari ini. Rupa-rupanya ada hukuman Tuhan di sebalik demam aku yang tidak kebah-

kebah. Segala panggilan aku abaikan. Segala mesyuarat aku batalkan. Terasa tanggungjawab

harian yang selama ini aku dampingi menjadi dua kali berat bila ditambah dengan beban yang

aku terima. Aku ingin lari. Jauh.

Siapa sangka jarum terakhir yang aku kongsi untuk menyuntik meth minggu lepas menjadi titik

hitam dalam hidup aku. Siapa sangka saat- saat yang aku luang melayan gianku bersama Ray di

apartment kecilnya merupakan detik hitam yang melakar hari-hari gelap di hadapan aku.

Akhirnya aku mengambil keputusan untuk memberitahu berita itu kepada kedua orang tuaku.

Sebelum aku mengambil keputusan sedrastik itu, aku telah mempersiapkan diri dengan segala

bentuk cemuhan dan makian ayah. Aku juga telah menebalkan muka meminta ihsan belas ibuku.

Ibu bapa mana yang tidak kecewa dengan anak serupa aku? Sejak aku menjawat jawatan di ibu

kota, jarang sekali kaki ini aku jejakkan ke kampung kecuali untuk urusan-urusan penting dan

menyambut perayaan besar. Jarang sekali aku mendail telefon bimbit mahalku untuk bertanya

khabar ayah, bermesra dengan ibu. Pulang ke kampung, aku tetap melayan gajetku. Pulangku

juga cuma sebentar. Jarang benar bermalam. Ah, sesal itu datangnya kemudian.

Ayahku cuma mengucap panjang ketika menerima berita itu. Ibu? Aku tidak tahu. Ayah

melarang keras aku memberitahunya tentang malapetaka yang menimpa aku. Hujung minggu

itu, aku pulang menemui mereka. Aku memohon cuti selama dua minggu atas alasan urusan

keluarga. Pulangku kali ini bukan atas dasar urusan penting. Bukan juga atas dasar meraikan

perayaan. Pulangku membawa duka.

Bila tapak kaki aku menjejaki pintu kamar tidurku, kelihatan senaskhah al-Quran diletakkan di

atas katil. Sekeping kertas terselit di situ.

‘’Kalau kau sesat, carilah Tuhanmu nak.- Ayah’’

Aku menyelak lembaran kitab suci. Hati aku sebak. 10 tahun aku sombong. 10 tahun aku ego.

Aku bergegas ke tandas mengambil air sembahyang. Aku tunaikan solat Dhuha. Usai solat, aku

menangis sungguh-sungguh. Perlahan-lahan aku membuka lembaran kitab suci. Menggigil-gigil

aku membaca setiap patah ayat suci. Menitik air mataku sambil lidahku terus menyebut kalam

Tuhan. Buat pertama kali aku mengakui betapa kerdilnya aku. Tiada sijil tinggi mampu menjadi

benteng, tiada kedudukan terhormat mampu menjadi penghalang, dari bahana yang aku undang

sendiri seandainya aku hidup bertuhankan nafsu.

*******************************************

Tapi itu semua dahulu. Episod kelabu itu telah lebih tiga tahun meninggalkan aku. Sesal? Aku

percaya Tuhan itu adil. Dia yang menulis takdir hambanya, Dia sebaik-baik Perancang. Aku

belajar menerima HIV yang aku hadapi sebagai sebuah hakikat yang perlu aku terima. Rutin

harian hidupku dipenuhi dengan perskripsi yang berbagai. Namun, demi sebuah kehidupan, aku

gagahkan juga. Masa silamku yang hampir memusnahkan segala yang aku usahakan juga

mengajar aku erti sebuah kehidupan-penerimaan dan kemaafan. Menerima hukuman di atas

kesalahan yang aku lakukan dan memaafkan diri sendiri kerana kesalahan yang aku lakukan.

Ayah, andai aku mampu balas segala jasa dan budimu. Ibu, andai aku mampu melakar lebih

banyak senyuman di bibirmu di hari-hari terakhirku. Aku tidak tahu selama mana hayatku

mampu dikandung badan. Selama mana tapakku berpijak di bumi Tuhan, atau hidupku

berbumbungkan langit Ilahi. Namun, akan aku cuba manfaatkan perananku di hari-hari akhirku

sebagai khalifah di bumi Allah.