CERPEN: Dadah dan Batu dan Guling (Drugs and Rock and Roll)

 

Cerpen ini diinspirasikan daripada kisah penyanyi utama kumpulan gitar rancak OAG, Radhi.

Mata Rafie kian sepet. Deria pendengarannya juga sudah mula kurang peka terhadap bunyi

sekeliling. Dia hanyut dalam dunianya sendiri. “Bangun Rafie! Kamu ni datang sekolah nak tidur ke

nak belajar hah?” bentak Puan Rafizah sambil menghempas meja tulis Rafie dengan sebatang

pembaris panjang. Secara automatik, pancainderanya terus menjadi segar dan peka sambil

bermonolog sendirian dalam hati “Ahh celakanya. Lambat betul masa berlalu bila duduk dalam kelas

ni. Tambah pulak dia ni ajar bukan sedap pun”. Tetapi, monolog hanya tinggal monolog dek kerana

gerun akan gurunya yang sedang dalam amukan.

Selain bentakan Puan Hafizah, terdapat satu lagi perkara yang mampu membuatkan Rafie segar

bugar, iaitu muzik, atau dengan lebih terperinci, alunan muzik gitar rancak. Selepas tamat waktu

persekolahan, Rafie bersama rakan rakannya yang turut berkongsi minat yang sama, iaitu Alep, Apek,

John dan Kudut akan berkongsi 5 ringgit seorang dan menyewa studio “jamming” selama sejam

untuk berlatih bermain alat muzik. Pada masa itu, tiada apa yang lebih menyegarkan berbanding

bunyi bunyian deras ketukan deram dan alunan bunyi gitar yang telah diganggu (distorted).

Sebagai remaja yang membesar dalam era pertengahan era 90-an, tentunya kugiran Nirvana yang

berasal dari Seattle, Amerika Syarikat menjadi hero muzik mereka, termasuk Rafie. Dianggotai Kurt

Kobain, Krist Novoselik dan Dave Grohl, Nirvana adalah kugiran yang mengangkat irama “grunge”

dalam pembawaan muzik mereka. Rafie bukanlah seorang remaja yang mendapat pendidikan formal

dalam bidang muzik tetapi dek kerana Nirvana, segala kord dan cara bermain gitar sanggup dipelajari

sendiri dengan tunjuk ajar teman teman. Setiap sesi “jamming” Rafie bersama rakan rakannya juga

akan dipenuhi dengan alunan lagu lagu Nirvana seperti Lithium dan In Bloom. Sebahagian duit

belanja persekolahannya juga akan disimpan untuk membeli kaset kaset rakaman kugiran tersebut.

Oleh kerana minat yang mendalam, muzik seolah olah seperti sejenis dadah buat Rafie dan dia

adalah penagih tegar dadah tersebut.

Akhirnya, muzik menjadi sumber rezeki buat Rafie dan teman temannya setelah kugiran yang telah

mereka tubuhkan daripada zaman persekolahan, iaitu Switch Autopilot mendapat perhatian syarikat

rakaman alternatif, iaitu Paradox Records. Perjalanan kumpulan mereka sebelum diintai syarikat

rakaman bukanlah sesuatu yang mudah. Bermula dengan merakam demo lagu lagu mereka secara

sendiri, mereka mula diundang untuk melakukan persembahan di gig gig kecil sekitar Kuala Lumpur,

Selangor dan Ipoh. Sejak itu, mereka tidak lagi menoleh ke belakang dan terus mengembangkan

karier seni mereka melalui Paradox Records dan akhirnya, perjudian mereka berbaloi setelah album

mereka Berjaya menembusi aliran perdana dan mendapat jumlah jualan yang memberangsangkan.

Seiring dengan populariti yang semakin memuncak serta poket yang semakin tebal, Rafie mempunyai

ramai kenalan, dan salah seorang daripadanya bernama Zaq, iaitu seorang “pusher” dadah yang

sangat dikenali. Pada awal perkenalan, Rafie sering disogokkan dengan kata kata “apa barang..tak

Kurt Kobain, tak rockstar la tak amik dadah”. Demi mencontohi heronya dari zaman remaja, iaitu

Kurt Kobain, Rafie mula mencuba kanabis yang dicarik halus dan digaul dengan tembakau di dalam

rokok dan akhirnya, mula menjadi seorang pelanggan tetap kepada Zaq.

Sudah menjadi resam seorang “pusher” untuk memastikan seseorang terus menjadi pelanggan

tetapnya. Setelah sekian lama membekalkan ganja kepada Rafie, Zaq mula memperkenalkan jenis

dadah yang lain kepadanya dengan kata penguat “ini baru kick. Main ganja je apa barang”. Dalam

diam, Rafie bersetuju dengan Zaq. Dia mula merasakan ganja sudah tidak memberi impak kepadanya.

Jika sebelum ini dia mampu berada di awangan setelah menghisap kanabis, kini dadah tersebut

terasa seperti rokok tembakau yang biasa. Dia ingin terus berada di awangan, dalam dunia sempurna

ciptaan fikiran yang sudah dipengaruhi bahan kimia asing.

Rafie tidak pernah mengakui dirinya sudah terjerat dalam penagihan dadah sehinggalah

kehidupannya diporak-perandakan dek kerana cinta terlarangnya terhadap barangan larangan

tersebut. Wang dalam akaun simpanannya sudah menghampiri angka negatif, habis dibelanjakan

kerana dadah. Kugiran Switch Autopilot juga telah dibubarkan kerana masanya dipenuhi dengan

khayalan dadah, sehingga tiada masa untuk berkarya walhal pada awal penagihannya, Rafie berkeras

mengatakan bahan bahan tersebut dapat membantu menjana ideanya untuk berkarya. Rakan rakan

juga lebih selesa menjauhkan diri daripadanya kerana kekerapannya meminjam wang untuk

melampiaskan nafsu berkahayalnya. Segala yang terjadi akhirnya berjaya merendahkan ego Rafie.

Akhirnya dia sedar dia sudah terjerat, dan perlukan bantuan. Dengan nasihat dan dorongan rakan

rakan, Rafie mendaftar sebagai penghuni di rumah PENGASIH.

“My drugs is my music!”. Rafie melaungkan kata kata tersebut dengan megah di atas pentas

persembahan kugiran berskala besar di Kuala Lumpur, 2 tahun kemudian. Rafie akhirnya bebas

daripada cengkaman najis dadah dan kembali berkarya bersama kugiran yang ditubuhkannya.

Karyanya juga sudah kembali berpaksikan cinta kepada muzik, dan bukan lagi dadah sebagai katalis.

Kempen kempen anti-dadah anjuran PENGASIH dan AADK juga aktif disertainya demi mengelakkan

dadah memusnahkan hidup individu lain, seperti yang dialaminya. Dengan perlahan-lahan, Rafie

membina kembali kehidupannya dengan atmosfera yang lebih positif sambil terus menentang

penyalahgunaan dadah dengan habis habisan. Heronya masih lagi Kurt Cobain, tetapi dari sudut

pandangan yang lain. Rafie terinspirasi untuk menghasilkan muzik yang memberi impak yang besar

kepada dunia, sama seperti heronya yang meninggalkan legasi besar kepada dunia, dan bukan cerita

cerita ketagihan dadahnya.