CERPEN: Di Lorong Gelap Itu

Sewaktu dia di dalam kantung rahimku. Berkongsi nyawa denganku, acapkali aku terfikir bagaimanakah rupanya bila dewasa kelak. Apa pekerjaanya. Bagaimana rupa wanita yang bakal disuntingnya seterusnya menjadi menantu perempuanku. Adakah akhlaknya juga seindah nama yang bakal kuberi padanya. Aiman. Aku pasti tersenyum sendiri dengan persoalan yang penuh di benak fikiran.

 

Subhanallah… aku memuji-Nya. Kagum dengan kebesaran Allah tatkala doktor meletakkan Aiman di dada ku sejurus selepas Aiman pertama kali melihat dunia. Hilang terus rasa perit sakit melahirkanya. Ku kucup lembut ubun kepalanya.

 

Anakku… kau lahir bersama cinta-Nya. Dewasalah kau dengan iman dan ilmu. Jangkaukanlah langkahmu mencari kematangan diri.Ibu akan memimpinmu, sayang. Namun sampai satu ketika, kau harus terbang sendiri. Jika kau jatuh menyembah bumi. Bangkitlah dengan penuh daya di hati…

 

Proses kelahiran Aiman begitu mudah. Sangka ku mendidiknya juga akan turut mudah jua.

 

Sejak kelahiran Aiman aku memulakan catatan harian. mengenainya.Ada catatan buat senyumnya yang pertama. Saat dia mula berdiri, mula menyebut ‘Ibu’, segalanya tidak terlepas dari coretan diariku. Sekali lagi sangkaku tentu dia akan seronok membacanya bila tua kelak atau sekurang-kurangnya buat bingkisan memori indah untuk cucu cicitku nanti.Entah tiba-tiba catatan ini terhenti. Serasa amat sukar untuk kuletak kan hujung pena di lembaran kertas. Terasa amat payah untuk diluahkan kata-kata dari jiwa dan perasaan. Tanpa ku ketahui, Allah telah tentukan takdir anakku ini di luh mahfuz lagi.

 

* * * * * *

Aku hanya mampu memandang sekujur tubuh yang telah kaku diperbaringan. Tengik bau Clorox hanya menambah sesak nafas dan senduku. Urusan penyelenggaraan jenazah semuanya diuruskan pihak hospital. Inilah anak kecil ku dulu. Selama 27 tahun begitu banyak kenangan bersamanya. Memang ku akui anakku ini agak nakal berbanding yang lain tetapi semakin menginjak remaja gelodak jiwanya semakin sukar kuselami dasarnya.

 

Dan sewaktu usianya 15 tahun kusedari perubahan ketara padanya. Aiman semakin agresif. Pantang ditegur cepat benar dia melenting. Malahan pintu biliknya juga pecah ditendangnya. Anak-anak yang lain semakin takut padanya. Malahan kesabaran suamiku juga tergugat hingga tangannya menghinggapi pipi Aiman untuk pertama kali. Guru di sekolah juga memaklumkan yang Aiman seringkali gagal menghadirkan diri ke sekolah. Aku cuba menafikan pada diriku sendiri namun aku tidak dapat menolak hakikatnya ke tepi. Aiman ku ini kini bergelumang dengan najis dadah. Takut akan pengaruh sahabatnya di kawasan perumahanku, aku tekad untuk menghantar Aiman tinggal bersama nenek dan atuknya di kampung. Mungkin inilah yang terbaik buat Aiman. Rupanya aku telah menghantarnya terus ke pintu neraka!

 

Semenjak hari itu aku tidak kenal lagi anak ku sendiri. Dia ada haluan hidupnya. Entah di mana dia berumah? Entah terisikah perutnya? Berbantalkah ia dalam peraduan? Jantungku berdegup kencang bila memikirkan kemungkinan dia adalah diantara ’sampah-sampah’ yang bertaburan di Kuala Lumpur ini. Antara mereka yang terhuyung-hayang mengatur langkah di lorong kotor itu. Tidak mengerti kegelapan malam dan sudah tidak kenal kecerahan hari siang. Bagi mereka dadahlah segala. Walau bahan itu sudah mula memamah setiap urat sendi mereka malahan merobek kewarasan yang tinggal segenggam cuma, itulah yang masih mereka dambakan setiap saat dan ketika.

 

Setiap kali deringan telefon, degupan jantung ku seolah terhenti. Takut-takut jika itu panggilan dari pihak polis. Tiap kali polis menelefon ku dan mengatakan anakku di tahan di lokap seakan ada jalur kelegaan di hatiku. Sekurang-kurangnya dia tidak tidur bergelandangan di jalanan dan cuba membunuh orang lain mahupun dirinya dengan najis dadah. Yang hanya menyelamatkan dia dari hukuman berat ketika itu cuma kerana umurnya belum genap 18 tahun.

 

Bermacam usaha kulakukan. Berubat sana-sini. Kuhantar jauh ke Kelantan untuk dia perbaiki diri dan mencari dirinya yang sebenar malah turut memimpinnya mengucup Hajarul Aswad. Namun segalanya gagal. Allah Maha Mengetahui. Pulih bukanlah kemahuannya sendiri. Aku juga sudah mula mendengar bisik-bisik masyarakat sekeliling. Namun itu mampu lagi kuhadapi tetapi bila saudara sendiri dah mula berkata-kata ketabahan ku mula direntap. Aku dikalungkan dengan gelaran ibu yang tidak pandai mendidik anak.

 

Jika itulah hemat kalian. Berita kan kepada ku, di manakah silapnya aku dalam mendidiknya?

 

Kutebalkan jua mukaku turun naik balai polis. Bertemu kaunselor Jabatan Kebajikan Masyarakat. Doa? Tak pernah putus buatnya. Malam-malamku yang tidak pernah lena di isi dengan solat hajat semoga anakku ini diberi kekuatan untuk pulih dan aku diberi kecekalan untuk menghadapi ujian dari-Nya.

 

Aku semakin risau apabila Aiman menginjak 18 tahun. Kali ini dia takkkan terlepas berhadapan dengan hukuman pesalah dadah yang lain. Tidak lama selepas harijadinya yang ke-18 dia dihadapkan atas tuduhan memiliki dadah. Kali ini tidak hanya di lokap, dia  dihantar terus ke penjara Kajang.

 

Sekali lagi luluh jiwaku. Terasa sukar untuk aku berdiri dengan kaki sendiri. Allah mengetahui segala. Dia ada rancangan buatku yang mana aku sendiri tidak tahu. Aku tidak akan berburuk sangka jauh sekali untuk memalingkan wajah ku dari-Nya. Tidak sama sekali. Aku tahu jika diukur dalamnya kasih seorang ibu kepada anaknya, dalam dan tak terperi lagi kasih Allah kepada hamba-hambanya.

 

Ya Rahman, Ya Rahim, jika ini kifarah buatku maka aku redha Ya Allah namun berilah aku kekuatan untuk menghadapinya.

 

Setelah dua tahun dibelenggu jerajak besi, Aiman keluar menebus janji-janjinya pada kami sekeluarga. Di waktu itu akulah ibu yang paling bahagia. Sangkaku Aiman telah ketemu titik perubahan dalam hidupnya. Segalanya tak kekal lama. Bila dia sering kali tidur kesiangan. Bila dia tidak mampu membalas renunganku lagi, aku tahu, Aiman kembali menagih benda terkutuk itu.

 

Atas nasihat seorang kauselor Agensi Anti Dadah Kebangsaan, aku mendaftarkan Aiman dalam program penggunaan Methadone. Namun gagal. Aiman menginginkan lebih dari itu. Kebergantungan fizikal dia dengan dadah membuatkan pemulihan baginya amat perit dan menyakitkan. Kerana itu, dia tersembam, tersungkur untuk sekian kali  dipertengahan jalan.

 

“Aiman, Aiman kena berubah. Kalau bukan untuk ibu cubalah untuk diri Aiman sendiri. Takkan Aiman nak terus-terusan begini? Suatu hari nanti kita semua akan bertemu Allah. Ibu tak mahu Aiman menyesal di kemudian hari lebih-lebih lagi bila nyawa sudah terputus dari jasad.” Aku tahu menasihatinya ketika ini umpama mencurah air ke daun keladi.

 

“Jadi Ibu nak Aiman matilah ye? Biar senang kerja ibu. Kalau Aiman nak mati sebagai junkie pun, biarlah!” Aku terpana dengan kata-kata Aiman. Umpama halilintar yang menyambar terus ke ulu hati. Perit. Lain yang ku taburkan, lain pulak pemahamannya. Inilah dia, bila pemikiran dan jiwa dijajah noda-noda hina dan busuk, kebenaran dan kejahilan bersatu hingga sukar ditaksir hitam putihnya.

 

“Buat tak tahu jelah, bu. Buat apa nak risaukan dia kalau dia tak pernah nak risaukan diri sendiri?” Keras benar kata-kata anak sulungku tentang adiknya. Namun aku memahami betapa bosan adik-beradiknya yang lain dengan perangai dan tingkahlakunya. Aku juga bosan malahan terlau ‘penat’ dengan semua ini. Salahkah aku untuk berperasaan sebegini. Berdosakah aku berputus harap kepada Aiman? Adakah ini sama seperti aku berputus asa kepada cubaan-Nya? Astagfirullah al-azim…

 

Tuhanku…kau janji syurga buat para sobirin. Maka ku pohon ya Allah golongan lah aku dalam mereka yang sabar menerima ujian-Mu.

 

* * * * * *

 

Kali terakhir aku menemuinya bila dia sendiri yang menghubungiku. ”Ibu, Aiman tak sihat. Aiman nak balik rumah” Ringkas saja permintaanya. Ku ambil dia di perhentian bas yang dijanjikan. Sebak dadaku. Namun ku tahan airmata ini dari berjujuran. Lemah langkahnya. Dengan berkemeja T lusuh yang entah dari mana dicurinya. Berseluar pendek dan berselipar getah yag terlalu kecil buatnya, Aiman masuk ke keretaku. Direndahkan kerusi lalu baring. Ku beri tuala basah yang dari awal ku bawa dari rumah. Dilekapkan tuala itu kemuka.

 

Diam.

 

Tiada sepatah kata yang keluar.

 

Aku terus memandu. Namun aku tidak mampu menumpukan perhatian. Sekujur mayat yang bernyawa menumpangi kerusi belakang keretaku benar-benar meragut cekal yang ada. Lagi payah dan perit menelan hakikat bila mayat itu adalah anak ku. Anak kecil yang dulunya aku susui. Anak kecil yang ku tatang umpama menatang sebenjana air di tanah gersang yang tak bersempadan.

 

Aku mencuri pandang dari cermin hadapan. Nafasku seakan terhenti. Umpama ada sesuatu yang menghalang rongga trakeaku tiba-tiba.

 

Sesak. Sempit

 

Kini aku tidak mampu menyeka lagi genangan airmata ini. Deras dan semakin deras. Kedua lengannya penuh bekas suntikan. Kesan torehan meth bug juga kelihatan. Serasa tidak mampu lagi memandu. Aku memberhentikan kereta di lorong kecemasan. Kutekupkan wajahku di stering. Masih basah dek genangan penglihatan yang seakan tidak mahu berhenti. Lemah longlai kaki ku. Benarlah kesakitan batin ini bisa terkesan hingga ke urat sendi. Dalam hati tidak henti-henti mencari kekuatan.

 

Maha Suci Engkau, sesunguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim.

 

Nekad.

Aku perlu menghantarnya ke Rumah Pengasih sebelum dia menyedari bahawa kami tidak menuju balik ke rumah.

 

“Ibu nak ke mana ni?” lemah suaranya.

 

“Rumah Pengasih” ringkas namun terkesan dengan sendu sebak yang masih belum kering.

 

“Aiman kan tak sihat. Aiman nak balik rumah” Aiman memujuk dengan lemah.

 

Dia tidak akan mampu menolak dan mendesak dengan tenaga yang tak seberapa. Ku juga dapat ‘hidu’ kesan dadah yang masih berbaki dalam aliran darahnya. Biarlah. Kali ini ku nekad. Dia akan kembali entah untuk ke berapa kali ke Rumah Pengasih dan takkan keluar lagi. Aiman tidak cukup kuat. Sudah berapakali dia relapse. Aku hilang perkiraan. Keadaan persekitaran dewasa ini semakin kejam dan tak berperikemanusiaan terhadap Aiman. Aku terpaksa akur, tangan ku sudah tidak ampuh mendidiknya lagi.

 

Bukan menyerah amanah Allah ini bulat-bulat kepada Rumah Pengasih. Tidak sama sekali! Jika diikutkan naluri keibuanku, hendak ku tatang dia di depan mata namun kudrat ini sudah tak terdaya lagi. Anak-anak yang lain juga dambakan perhatian. Selama ini aku telalu ‘sibuk’ mengurusi Aiman. Namun aku tidak akan putus untuk berdoa. Moga-moga berkat doa seorang ibu yang tak terhijab dek Allah ini akan termakbuk jua. Insya-Allah

* * * * * *

Inna lillah hi wa innailaihi rojiun……

 

Beberapa bulan di Rumah Pengasih, Aiman dimasukkan ke hospital. Hepatitisnya dan phnemonia semakin teruk. Mata putihnya sudak jelas kuning. Aiman dipangkuanku sewaktu sakaratul menjemputnya pulang.

 

“Ampunkan… dosa… Aiman… bu” Itu kata-kata akhir Aiman.

 

Kali ini tiada air mata lagi yang tumpah ke bumi Allah yang fana ini. Lopakan air mata ku sudah kering. Allah mengetahui segala-galanya. Siapalah kita untuk mengatasi ilmu-Nya. Aku yakin ada hikmah disebalik ujian Allah ini. Anak ku ini hanya pinjaman dari-Nya.

 

Ibu ampukan dosamu sayang. Ibu halalkan setiap titis susu yang kau minum. Maafkan ibu jika ada sela waktu kehidupanmu ,ibu alpa dalam menunaikan tanggungjawap kepadamu. Selamat tinggal anak ku… ibu berdoa kau peroleh keampunan dari yang Esa.

 

Apa pun yang Allah tetapkan, aku bersyukur Izrail tidak menemukannya di lorong gelap itu…

 

______________________________________________________________________________________

Dedikasi buat para ibu yang mempunyai anak pengguna dadah.Walaupun mungkin hati terlalu kecewa jangan sesekali lupa mendoakan mereka.Penghargaan juga buat Presiden Persatuan Pengasih Malaysia,Yeop;teruskan usaha.Moga niat murni ini diredhai.Nya.Kepada mereka yang sedang berjuang dalam pemulihan.Kentalkan semangat.Selagi nyawa dikandung badan,kehidupan ini adalah jihad yang berterusan.

 

 

Nota:

Sebenarnya Aiman(Bukan nama sebenar)tidak meningal,setelah keluar masuk Pengasih dan pemulihan terakhir di Pengasih Amanjaya,Perak akhirnya dia berjaya mengatasi masalah ketagihannya (namun prosesnya tidak semudah dan sesingkat seperti apa yg ditulis ini)Bekerja sekejap di Malaysian AIDS Concil sekarang sudah berkahwin dan punya anak berumur 3tahun dan 1tahun,mempunya syarikat sendiri dan pekerja sendiri.Masih sukarelawan di Pengasih.Kembali kepada agama,dahi sudah mula sujud ke bumi.Sudah mampu menghulur wang belanja buat ibu setiap bulan.Dalam proses berhenti rokok…alhamdulillah..terima kasih ya Allah,adikku kembali kepangkuan kami…dan saya yakin…ini berkat doa dan pengharapan tidak lain dan tidak bukan…seorang IBU (disaat kami yg lain rasa biar kisah ini berpenghujung dengan kematian sahaja…astaghfirullahal azim)

 

Oleh: NURLINA BT MOHD ISMAIL  

(Pemenang Peraduan Cerpen kategori UMUM)