CERPEN: Lelaki Bawah Jambatan – Siti Nurzulaikha Adam

Di bawah jambatan simen capuk itu, terbaring sepi seorang lelaki empat puluhan. Sejak tiga tahun yang lalu, susuk tubuhnya yang kurus-kering itu sudah tidak asing lagi di sekitar Sungai Klang. Keadaannya cukup naif, cukup jelek, dan cukup menyanyat hati. Bajunya cobak-cabik, seluarnya seperti kain buruk yang disarungkan pada buah nangka; turut compang-camping. Rambutnya kusut-masai serta jambangnya tidak terbela. Kusut dan terbiar. Bau badannya sudah tidak tertanggung oleh deria hidu manusia. Entah bila kali terakhir dia menyucikan diri. Mungkin sejak tiga tahun yang lalu. Sejak dia jatuh cinta pada serbuk halus putih berdebu; yang telah meragut segala kesempurnaan hidup yang dia miliki.

Dia hilang segalanya. Rumah, kereta, isteri, anak-anak dan kerjaya. Malahan orang tuanya sendiri tidak mengenalinya kini. Semuanya mulai hilang sedikit demi sedikit. Dan kini, tiada apa lagi yang dimilikinya, melainkan sehelai baju buruk serta kepingan-kepingan kotak coklat yang menjadi tilamnya saban malam di bawah jambatan simen itu. Demi serbuk putih itu, lelaki itu sanggup menggadaikan apa sahaja yang dia miliki asalkan dia merasa puas. Pernah dia menggadaikan jam tangan berjenama Rolex semata-mata untuk mendapatkan stok bagi menghilangkan ketagihannya. Semua perbuatan jahatnya tidak dihidu oleh isteri dan keluarga, sehinggalah dia tertangkap dalam satu ops cegah dadah di ibu kota Kuala Lumpur.

Jangan terkejut kalau diceritakan bahawa lelaki itu bukan calang-calang orang. Bukan pemandu lori, bukan posmen, bukan peladang dan bukan juga pekerja kilang. Ternyata, dia adalah seorang juruterbang pesawat atau lebih mudah dipanggil pilot. Ya, pilot. Malahan ibu dan bapanya juga bukan orang sembarangan. Ayahnya imam dan ibunya ustazah di kampung kelahirannya, Banting. Mana mungkin, seorang yang terpelajar dan terhormat sebegitu, kini menjadi seperti anjing kurap, terkais-kais mencari sisa makanan di tong-tong sampah bagi menampung perut. Namun kerana serbuk putih itu, segalanya mungkin.

Kini tidak ada apa lagi yang tinggal pada bekas pilot itu. Jika dahulu, dia megah dengan seragam dan topinya, sekarang sabun mandian dan ubat gigi pun tidak dapat dibezakan olehnya lagi. Semasa dia ditangkap, dia sedang asyik menghisap dadah. Bayangkan sahaja bagaimana perasaan isteri, anak-anaknya yang masih kecil serta ibu bapanya saat dikhabarkan mengenai penangkapannya. Lelaki itu telah menconteng arang pada muka seluruh insan dalam keluarganya. Maruah keluarga Sang Imam itu tercalar hebat akibat kedurjanaanya.

Lelaki itu ditahan di salah sebuah pusat serenti. Dengan izin Allah, perkembangan kesihatannya cukup positif dan pesat. Dalam tempoh satu tahun sahaja, dia benar-benar telah boleh hidup tanpa serbuk putih itu. Mungkin kerana dia orang terpelajar dan terhormat, jadi tahap motivasi dan kesedaran dalam dirinya adalah tinggi. Seisi keluarganya tidak henti-henti memberi sokongan dan dorongan sejak dia mula memasuki pusat serenti itu.

Lelaki itu bebas. namun dia telah kehilangan pekerjaan hebatnya sebagai seorang pilot. Dan dia sendiri malu untuk menetap di Kuala Lumpur lagi, lalu dia memutuskan untuk bekerja sementara di salah sebuah kilang elektronik di Banting, sebelum menemukan pekerjaan yang benar-benar sesuai dengan kelayakan ijazah luar negaranya. Dia, isteri, serta anak-anaknya tinggal bersama kedua orang tuanya di kampung tersebut.

Masyarakat setempat mulai berhenti mencerca lelaki tersebut, malahan banyak program-program anti-dadah yang dijalankan dengan menjemput lelaki itu sebagai ahli panel atau penceramah khas. Keadaan hidup lelaki itu bertambah baik. Hari demi hari, sedikit demi sedikit. Tiada lagi rasa malu dan kecewa. Lelaki itu mula bekerja keras untuk mendapatkan wang bagi menyara hidupnya sekeluarga. Sudah tentu dia tidak ingin menyusahkan kedua ibu bapanya, disamping mendekatkan diri dengan Tuhan sepanjang masa.

Namun sangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Syaitan mana yang telah berjaya menghasutnya untuk menyentuh serbuk putih itu kembali. Rupanya, di kilang tempat dia bekerja, dadah dijual seperti gula-gula; ada penggemarnya, ada pelbagai rasa serta pelbagai harga. Dia kandas dan akhirnya tumpas; lagi buat kali kedua. Selepas berhempas-pulas jatuh dari langit, kini dia terbenam pula ke dasar perut bumi yang paling dalam. Malahan kali ini, lebih tragis dan gila berbanding sebelumnya.

Lelaki itu mulai lupa peristiwa hitam yang pernah dilaluinya sebelum ini. Dia lupa dia pernah jadi banduan. Dia lupa dia pernah menjadi penceramah. Dia lupa segalanya. Racun dadah itu telah menular ke seluruh tubuh dan jiwanya. Kali ini dia benar-benar menjadi persis Sang Iblis. Lebih-lebih lagi semasa ketagihannya memuncak. Melampau-lampau! Sudah habis gajinya dilaburkan, dia kini berani meragut barang kemas isterinya dan mencuri duit ibunya yang tersimpan dalam lipatan baju. Nasihat berbuih kedengaran semula, namun semuanya bagai tumpah ke daun keladi. Lelaki itu telah buta tuli. Buta hati.

Malahan kini, dia sudah berani memukul isterinya jika tidak memberikannya wang untuk membeli serbuk putih itu. Dilempang-lempangnya pipi isterinya, disepak-terajangnya tanpa ihsan lagi. Itulah bahana dadah yang paling menjerat; yakni hilang kewarasan akal dan kawalan terhadap diri. Klimasknya, seseorang itu boleh menjadi pembunuh yang paling kejam. Mujur, lelaki itu masih tidak sanggup membunuh orang-orang yang cuba menghalangnya.

Malam itu menyaksikan kemuncak kerasukan penagih tegar itu. Dia ditangkap oleh orang kampung sewaktu sedang gigih mengupil tabung surau di kampungnya, dengan niat mencuri wang hasil sedekah orang ramai. Perbuatannya itu disedari oleh salah seorang jemaah surau dan melaporkan segera kepada ketua kampung. Tidak lama kemudian, ketua kampung tiba bersama sekumpulan penduduk kampung yang lain. Lelaki itu sudah dikepung! Tiada peluang lagi untuk dia melepaskan diri. Dia terpinga-pinga seakan tiada apa yang berlaku walhal segumpal duit kertas (rata-ratanya Ringgit Malaysia satu) serta wang-wang syiling berada dalam genggaman tangannya.

Maka, terhamburlah kembali kata-kata nista, cemuhan dan cacian daripada penduduk kampung terhadap lelaki itu. Mereka cukup terkejut dan kecewa dengan perbuatan lelaki itu yang sanggup mencuri wang di rumah Allah. Lelaki itu diludahi dengan pelbagai cercaan. Ketua kampung yang dari tadinya hanya mampu menggelengkan kepala dan beristighfar panjang. Berita tentang penangkapan lelaki itu sampai ke telinga keluarganya, lalu mereka anak-beranak lekas mendapatkan lelaki itu di surau.

“Lelaki ini perlu dihukum Tok!!!” Jerit salah seorang penduduk kampung. Yang lainnya bersorak kuat sambil setuju benar dengan cadangan itu.

Lelaki itu kian panik kerana wajah-wajah manusia di hadapannya kini bertukar menjadi singa kelaparan. Hanya wajah ketua kampung yang masih tenang, sedang berfikir dengan hikmah tentang hukuman terbaik yang wajar dijatuhkan ke atas lelaki itu. Tidak lain dalam benaknya adalah menyerahkan lelaki itu kepada pihak berkuasa (polis).

Tidak lama kemudian, terpacul pula wajah isteri, anak-anaknya serta orang tuanya dari balik penduduk kampung yang sedang mengelilinginya. Esak tangis dan sedu-sedan seisi keluarga itu kedengaran rapat di cuping telinganya. Dia merasa bersalah. Air matanya hampir tumpah dan dia ingin benar meminta maaf pada keluarganya saat itu juga. Kerana dia sedar, dia sedang melakukan kesalahan yang berat dan memalukan. Jika dahulu, dia menghisap dadah, tetapi tidak mencuri. Namun sekarang, dia menghisap dadah dan mencuri. Dosanya dua kali lipat!

Namun, taktala pandangnya terhala semula ke arah wajah-wajah amarah penduduk kampung itu, hatinya berderau. Tiada cara lain, kecuali berpura-pura mengaku bersalah dan melarikan diri. Lelaki itu mengangkat kedua belah tangannya lalu diletakkan di belakang kepala. Akibatnya, semua wang-wang haram yang digenggamnya tadi terlepas berkaparan di lantai surau. Dengan langkah yang perlahan, lelaki itu bergerak setapak demi setapak menghala ke arah ketua kampung, di samping tangannya yang masih dalam posisi diangkat ke belakang kepala. Penduduk kampung yang berteriak sejak tadi mulai diam dan memerhatikan langkah tewas lelaki itu. Esak tangis seisi keluarganya juga mulai terhenti. Masing-masing cuba bertenang supaya lelaki itu dapat menyerahkan diri dengan selamat.

Taktik kotornya menjadi. Saat langkahnya hampir sampai kepada ketua kampung, lelaki itu dengan serta-merta melarikan diri sekuat hati, semahu-mahunya. Penduduk kampung semuanya terkejut! Suasana jadi gawat! Mereka cuba mengejar lelaki itu, namun dia berjaya meloloskan diri. Bayang-bayang lelaki itu sudah tidak kelihatan lagi. Ternyata, dia benar-benar lari selaju kudratnya. Penduduk kampung hilang tenaga, dan misi mencari lelaki itu diteruskan sehingga pagi. Laporan polis dibuat namun pihak polis sendiri tidak berjaya memberkas lelaki itu. Ternyata, dia benar-benar licik menyembunyikan diri.

Gemparlah semula cerita hitam yang selama ini telah disucikan dengan nada keinsafan. Namun itu semua ternyata sementara, kerana manusia itu hakikanya bersifat alpa. Dadah pula sifatnya syaitan, menyesatkan manusia sesesat-sesatnya; hingga akhirnya tiada jalan pulang untuk kembali. Cuma tinggal gelap dan derita. Dan itulah yang sedang menyelimuti hidup lelaki itu kini. Sejak dia melarikan diri malam itu, dia menjadi seperti orang tidak keruan. Dia berjalan ke merata tempat tanpa matlamat. Kadang-kadang dia duduk mencangkung di tepi jalan, sambil menangis tersengguk-sengguk seakan budak kecil dirampas permainan. Akhirnya dunia harus mengakui, bahawa lelaki itu telah mengalami gangguan mental yang serius.

Lelaki itu mundar-mandir hari ini. Hujung jarinya menggaru-garu kepalanya, tanda tidak tahu apa yang harus dilakukan selepas ini. Kini, dia benar-benar hilang kewarasan akal; sekejap dia ketawa, sekejap lagi dia menunjukkan mimik sedih. Namun, dalam kebanyakan masa, wajahnya seakan-akan kosong – tanpa sebarang emosi apapun. Tingkahnya seperti monyet. Kadang dia membuat gaya seperti orang sedang lalok menghisap dadah, sambil mencucuk-cucuk lengannya dengan picagari plastik yang ditemuinya di tepi longkang.

Cerita pendek ini hasil inspirasi daripada sebuah kisah dari mulut ibu saya sendiri. Beliau pernah bercerita perihal orang kampungnya dahulu yang merupakan seorang juruterbang pesawat, namun kini menjadi gelandangan sejati di ibu kota. Keadaannya cukup menyobek hati. Sehingga kini, tiada seorang pun yang mengetahui pengakhiran hidupnya. Semoga cerita ini dapat memberi iktibar kepada seluruh pembaca, dengan pedoman terpenting iaitu setinggi manapun ilmu dan kehormatan manusia, apabila mereka mula terjebak dengan najis dadah, maka masa hadapannya akan ditakluk oleh kegelapan hawa nafsu dan Syaitan. Wallahu’alam.